SIFAT marah berterusan atau dendam kesumat yang sentiasa meracuni akal fikiran serta perasaan tentu memberi banyak mudarat kepada perwatakan diri serta rohani kerana emosi yang terjejas seterusnya mengganggu tumpuan seseorang.
Apabila keadaan itu berlaku secara berterusan, sukar untuk mengawal tindak-tanduk hingga boleh mencetuskan persengketaan dan perselisihan faham. Akibatnya, banyak berlaku jenayah kekerasan dalam masyarakat yang berpunca daripada sikap buruk ini.
Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas akan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.Apabila keadaan itu berlaku secara berterusan, sukar untuk mengawal tindak-tanduk hingga boleh mencetuskan persengketaan dan perselisihan faham. Akibatnya, banyak berlaku jenayah kekerasan dalam masyarakat yang berpunca daripada sikap buruk ini.
Firman Allah bermaksud: “Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampuni dosa dan kesalahan kamu? Dan Allah Maha pengampun, Maha Penyayang.” (Surah An-Nur: 22)
Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah yang menjadi takdir perlu dihadapi dan sekali-kali tidak akan terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan.
Sebagai makhluk yang lemah dan selalu membuat kesilapan, berdoalah kepada Allah supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekalipun kita berada di pihak yang benar.
Apa yang mendukacitakan, ramai kalangan umat Islam terlalu berat untuk memaafkan kesilapan orang lain. Mereka memiliki sifat keras hati dan tidak mahu mengalah apabila berada dalam situasi genting.
Malah, ada yang sanggup bersumpah untuk tidak mengampunkan dosa dan kekhilafan sekalipun diminta berkali-kali. Sikap negatif begini jika dibiarkan berleluasa dalam masyarakat hanya akan membawa kepada pecah-belah sesama sendiri.
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik kerana sifat mahmudah terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati sekalipun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda.
Antara kisah paling masyhur mengenai sifat mulia Baginda ialah ketika Nabi Muhammad diracun seorang perempuan Yahudi. Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu, namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.
Saidatina Aisyah menyatakan: “Rasulullah SAW tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahupun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikitpun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun sebagai manusia biasa diakui sukarnya untuk memadamkan rasa marah dan benci dalam hati, namun andai bertekad untuk menjirus api nafsu amarah daripada terus membakar emosi, sifat memaafkan mampu memadamkan bara dinyalakan syaitan yang ingin terus melihat manusia bergaduh sesama sendiri.
Oleh itu, marilah bersama mentarbiahkan diri dengan menjinakkan lidah untuk mengucap kemaafan sementara tangan menghulurkan salam kemaafan kepada sesiapapun tidak kira sebesar mana kesalahan kerana dalam sifat pemaaf terkandung keberkatan dan kemuliaan yang tinggi.
Yakinlah, jika kita bersedia memberi kemaafan kepada seseorang nescaya orang juga bersedia memaafkan keterlanjuran kita. Marilah buang segala sifat mazmumah supaya perasaan sakit hati, benci dan marah dapat dijauhi.
Rasulullah bersabda maksudnya: “Sesiapa yang ada sebarang kesalahan dengan saudaranya maka hendaklah diselesaikan sekarang, kerana sesungguhnya di sana (di akhirat) tiada lagi wang ringgit untuk dibuat bayaran, (yang ada hanyalah) diambil hasanah (kebaikan) yang ada padanya, kalau dia tidak mempunyai kebaikan, diambil keburukan orang itu lalu diletakkan ke atasnya.” (Hadis riwayat Bukhari).
No comments:
Post a Comment